PEMBAHAS TERENGGANU DI KONGRES KEADILAN MEMUKAU

Terengganu mempersembahkan tajuk.
SUMBANGAN PERJUANGAN VETERAN DALAM PARTI

Berikut adalah text ucapan En Alias Ismail.
En Alias adalah Setiausaha Negeri KEADILAN Negeri Terengganu -SUN dan juga Mantan Calon KEDILAN Parlimen Hulu Terengganu dalam PRU15 pada 19 Nov 2022.
Memang terhebat antara pembahas2 yang mengambil bahagian dalam Kongres Kali ini lebih bernyawa suara dari bumi Terengganu 

Berikut text ucapan dari En Alias Ismail yang dan boleh dianggap antara yang TERHEBAT dan memukau Dewan PICC. Putrajaya.

Assalamualaikum wbt.
Terima kasih Datuk Pengerusi Tetap.
Yang dihormati Datuk Seri Presiden dan Timbalan Presiden,
seterusnya perwakilan, pemerhati, hadirin, dan pengamal media.

“Sumbangan Perjuangan Veteran dalam Parti” – demikian tajuk perbahasan yang diberi kepada saya – Alias Ismail – pembahas Terengganu pada kongres kali ini.

Datuk Seri Presiden dan semua hadirin,

Alhamdulillah, akhirnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat berdiri di pentas pemerintahan dengan saiz penguasaan yang lebih besar dan tenaga kesaktian yang lebih ampuh pada PRU Ke-15 ketimbang PRU Ke-14. Ini merupakan suatu perkara yang langka dalam landskap politik tanah air, apatah lagi langkah kita ke arah mengisi ruang podium ini berhadapan dengan sejarah yang panjang, onak yang tak terperi, dan denai yang berliku-liku.

Punca kejayaan berkenaan tentulah pelbagai, namun satu daripadanya tidak lain daripada sumbangan perjuangan veteran dalam parti kita. Dalam ruang yang terhad ini kita tidak mampu memaparkan kesemua perkara yang telah dilaksanakan mereka, namun mungkin patut kita mengimbau serba ringkas kesukaran, kepedihan, kezaliman yang berlaku ke atas mereka; yang ditimpakan oleh pemerintah ketika itu, yang tidak mahu melihat biru muda memenuhi ujana politik tanah air.

Sebahagian veteran yang besar jasanya itu masih lagi bersama-sama kita termasuklah menghadiri kongres kali ini. Saya percaya sekiranya saya meminta mereka mengangkat tangan sekarang pasti mereka mengangkatnya. Mereka kekal berjuang dengan unggun semangat yang tidak kenal padam. Sebahagian veteran yang mangkir pula berkemungkinan besar mengikuti siaran langsung kongres ini berasaskan keberadaan masing-masing. 

Permasalahannya sekarang, cukupkah kita bercakap tentang sumbangan dan jasa mereka hanya dengan susunan aksara; hanya dengan frasa; hanya dengan klausa yang berbau retorika? Adakah segala-galanya itu selesai dengan naratif sedemikian? Adakah itu benar-benar sudah memadai?

Datuk Seri Presiden dan semua hadirin,

Ada pantun Melayu yang bunyinya begini:

Banyak legundi perkara legundi,
Dikarang pendeta dalam pantun;
Banyak budi balasannya budi,
Cerminan kita bangsa nan santun.

Dalam menangani permasalahan ini, parti disaran memikirkan suatu bentuk “balas budi” yang kalaupun tidak sampai tahap setimpal, masih boleh menjangkau garis definisi “penghargaan”  kepada veteran parti ini. Yang memerlukan kos sara hidup diberikan kos itu, demikian juga keperluan lain mengikut kemampuan parti. Kita mungkin tidak dapat memberikan segala-galanya kepada mereka namun yang penting ada tanda bahawa kita ingat akan jasa mereka.

Datuk Seri Presiden,

Konsep balas budi ini juga merangkumi kesediaan kita mendengar suara mereka. Ada ketikanya mereka menyampaikan nasihat dan pandangan dari jauh. Dalam konteks Terengganu, kedengaran beberapa pandangan yang bermanfaat untuk kita ambil perhatian demi memperkukuh parti.

Pertama, KeadilanTerengganu ketiadaan roti dan parang untuk berhadapan dengan cabaran memugar  semak dan belantara yang masih terlalu tebal terutama di tiga daerah – Marang, Kuala Nerus, dan Setiu. Rekod keahlian PKR daerah itu sangat jelas menunjukkan bahawa satu gerak kerja yang tersusun perlu dilakukan agar jumlah keahlian bertambah dan sokongan kepada parti kita memperlihatkan perubahan dari satu tahap ke satu tahap yang lebih baik. Sungguhpun begitu beberapa perkara perlu disegerakan termasuklah membekalkan roti dan parang yang mencukupi atau makanan yang lebih berkhasiat dan peralatan kerja yang lebih canggih kepada kami agar dapat kami bergerak dengan lebih cergas. Setakat ini kami tidak mempunyai kemudahan tersebut dan hal sedemikian sudah tentu melambatkan proses kerja menjadikan Terengganu negeri yang setanding Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.

Menebuk kayu burung belatuk,
Kayu mati di tengah bendang;
Sudah bekerja sehari suntuk,
Kopi secawan tidak terhidang.

Kayu mati di tengah bendang,
Dekat banir tumbuh atap;
Kopi secawan tidak terhidang,
Kepada presiden kami berharap.

Kedua, Keadilan Terengganu berhadapan kesukaran mengadu kepada sebahagian rakan yang sudah berbaju menteri. Ketika ada yang sudi mendengar, ada juga yang seolah-olah tidak mahu melihat kewujudan kami; maklumlah kami ini fakir; naif; tinggal di teratak di hujung desa. Ada yang datang ke Terengganu tanpa menyantuni kami dan hal ini bukan setakat diperkatakan oleh veteran parti malahan ahli biasa, dan pimpinan negeri. Demikianlah realitinya. Realiti itu juga menyukarkan kami memberi pandangan kepada rakan-rakan yang berbaju menteri ini tentang sikap dingin jabatan dan agensi kerajaan tertentu bukan sahaja terhadap kami di Bumi Hitam Putih, bahkan kepada Kerajaan Persekutuan melalui pembentukan gerakan yang boleh diistilahkan sebagai “Daulah Terpendam”. Sebahagian mereka tidak sedar bahawa mereka dikepung oleh musang berbulu ayam sedangkan kami mengenali musang tersebut yang membina pengaruh demi kelangsungan pihak lawan. Kepada rakan-rakan yang berkenaan, kami memohon mereka mendengar luahan ini dengan jiwa besar demi kebaikan parti; jangan “Sudah terhantuk baru tengadah”; juga jangan hanya mendatangi kami pada detik serta kalendar tertentu.

Buah kelubi bukannya salak,
Di hujung lambur ada manggis;
Ketika berkuasa selalu mengelak,
Musim pemilihan bermulut manis.

Di hujung lambur ada manggis,
Tidak sebanyak buah berangan;
Musim pemilihan bermulut manis,
Amalan begini diulang jangan.

Datuk Seri Presiden,

Dalam membahaskan tajuk ini tiga perkara telah dikemukakan selaras dengan tema kongres iaitu “Memaknai Reformasi, Menjulang Madani”. Ketiga-tiga perkara itu dihuraikan dari perspektif menghargai sumbangan perjuangan veteran parti. Sebagai pembahas yang mewakili Terengganu, saya memohon naratif yang telah dijajarkan sebentar tadi diberikan pertimbangan yang sebaik-baiknya. Bantulah kami demi kelangsungan dan pemerluasan penguasaan parti di Bumi Darul Iman. Budi baik dan perhatian Datuk Seri Presiden menjadikan kami lebih kuat mengharungi cabaran dari setiap detik dan segenap ruang, insya-Allah. Amin. 

 Bukan kanggaru tetapi gajah,
Masuk kebun terancam dokong;
Wakil Terengganu menutup hujah,
Ucapan presiden teguh disokong.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

PRESIDEN BERTEMU DAN MEMPENGERUSIKAN MESYUARAT MAJLIS PIMPINAN KEADILAN NEGERI TERENGGANU PADA 9 MAY 2024

BANTUAN DARI NGO KBST MPN DAN PH TERENGGANU BANJIR. DI DUNGUN